Prosedur Penerimaan Saman Dan Permohonan
Selepas sesuatu kes didaftarkan, saman atau permohonan akan diserahkan kepada Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang melalui Penghantar Saman.
Setelah saman / permohonan tersebut diterima, Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang dikehendaki hadir ke mahkamah untuk sebutan kes. Pada hari sebutan tersebut sekiranya pihak-pihak ada persetujuan untuk menyelesaikan kes, persetujuan boleh direkodkan dan kes selesai.
Jika pihak-pihak tidak ada persetujuan, Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang hendaklah memfailkan jawapan kepada Penyata Tuntutan / Afidavit Permohonan. Sekiranya Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang ada membuat Tuntutan Balas, Pihak Penuntut / Pemohon hendaklah memfailkan jawapan kepada tuntutan balas tersebut.
Bagi kes-kes saman dan selepas jawapan kepada Penyata Tuntutan dan jawapan kepada tuntutan balas (jika ada) tersebut difailkan, pihak-pihak dikehendaki memfailkan Ikatan Dokumen iaitu dokumen-dokumen berkaitan tuntutan hendaklah difailkan. Setelah semua prosedur di atas disempurnakan pihak-pihak akan diberikan tarikh perbicaraan.
Setiap Saman atau Permohonan yang diterima oleh Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang hendaklah difailkan jawapan kepada Penyata Tuntutan / Afidavit Permohonan. Sekiranya tidak difailkan jawapan kepada Penyata Tuntutan / Afidavit Permohonan, mahkamah menganggap Saman atau Permohonan tersebut dipersetujui oleh Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang dan mahkamah boleh membuat keputusan tanpa bicara sekiranya Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang tidak hadir ke mahkamah pada hari yang ditetapkan.
Sekiranya Pihak Kena Tuntut / Pihak Penentang hadir pada hari perbicaraan, mereka tidak berhak untuk memberi keterangan dan jika keterangan diberikan juga maka mahkamah tidak akan mencatatkan keterangan tersebut dan keterangan itu tidak akan diterima.