Prosedur Pendaftaran Kes Faraid
Faraid ialah cara-cara menyelesaikan masalah pembahagian harta pesaka orang Islam yang ditinggalkan setelah berlakunya sesuatu kematian.
Harta pesaka terbahagi kepada dua iaitu:
- Harta tak alih seperti tanah dan rumah;
- Harta alih seperti kenderaan, barang-barang kemas, saham, wang simpanan, wang KWSP, wang insuran dan sebagainya.
Berikut adalah panduan Pendaftaran Permohonan Perakuan Faraid di Mahkamah-mahkamah Rendah Syariah dalam Negeri Kedah Darul Aman.
Setiap permohonan perakuan faraid hendaklah disertakan dengan perkara-perkara berikut :
- Borang Permohonan yang lengkap di isi. Pemohon hendaklah salah seorang daripada waris-waris yang berhak terhadap harta pesaka.
- Hendaklah disertakan dengan sijil kematian asal (untuk pengesahan) dan salinan sijil kematian pewaris-pewaris atau surat akuan sumpah kematian.
- Salinan kad pengenalan atau sijil kelahiran waris-waris yang berhak ke atas harta tersebut.
- Salinan Borang A (Dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah).
- Salinan laporan nilaian harta (Dikeluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah).
- Salinan dokumen harta-harta yang boleh dialih dan tidak boleh dialih. Jika harta dipegang oleh Amanah Raya Berhad, pemohonan hendaklah disertakan dengan surat daripada Amanah Raya Berhad yang menyebutkan jumlah nilaian harta si mati.
- Bayaran Pendaftaran permohonan perakuan Faraid akan dikenakan mengikut jumlah nilaian harta-harta pesaka.
Setelah permohonan didaftarkan pemohon akan diberikan tarikh untuk siasatan ahli-ahli waris. Pemohon hendaklah mengetahui dengan lengkap mengenai perihal si mati serta susunan waris-waris si mati yang berhak dan pemohon hendaklah hadir ke mahkamah bersama-sama dua orang saksi lelaki untuk siasatan ahli-ahli waris pada tarikh dan masa yang ditetapkan.