KUALA KETIL, 26 Julai 2026* – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) dalam satu majlis yang berlangsung di Dewan Senat, Aras 2, Canselori Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak, UniSHAMS.
Majlis menandatangani MoU ini menjadi simbol komitmen bersama dalam memperkukuhkan jaringan strategik antara institusi kehakiman syariah dan institusi pengajian tinggi, khususnya dalam bidang penyelidikan, latihan, pembangunan modal insan, perkongsian kepakaran serta pemerkasaan sistem perundangan dan kehakiman syariah.
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada warga akademik, pengamal undang-undang syariah serta masyarakat, termasuk penganjuran seminar, persidangan ilmiah, latihan profesional, program pembangunan kompetensi dan penyelidikan berkaitan kehakiman syariah.
MoU ini turut mencerminkan kesungguhan JKSNK dan UniSHAMS dalam memperkukuh hubungan strategik demi melahirkan sumber manusia yang berilmu, berintegriti dan berkemahiran tinggi, selaras dengan aspirasi memperkasa institusi kehakiman syariah serta memartabatkan pendidikan Islam di Malaysia.
Majlis bersejarah ini diharapkan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu, inovasi dan kecemerlangan perkhidmatan kehakiman syariah pada masa hadapan.





