Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

MESYUARAT PENGURUSAN PENTADBIRAN KEHAKIMAN BIL. 2 TAHUN 2026

PADANG TERAP, 23 Julai 2026 – Mahkamah Rendah Syariah Padang Terap telah menjadi lokasi penganjuran Mesyuarat Pengurusan Pentadbiran Kehakiman Bil. 2 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Negeri Kedah, Dato’ Syeikh Hj. Abd Rahman bin Hj Abdullah.
Mesyuarat ini telah menghimpunkan para Hakim Syarie, Pegawai Penyelidik dan Pegawai Sulh dari seluruh Negeri Kedah bagi membincangkan isu-isu berkaitan pengurusan dan pentadbiran kehakiman, di samping menilai pelaksanaan dasar, prosedur serta langkah-langkah penambahbaikan ke arah penyampaian perkhidmatan kehakiman Syariah yang lebih cekap, berkualiti dan berintegriti.
Penganjuran mesyuarat ini merupakan platform penting dalam memperkukuh penyelarasan pentadbiran kehakiman di semua peringkat Mahkamah Syariah Negeri Kedah. Selain itu, ia turut menjadi medan perkongsian pandangan dan pengalaman bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kehakiman sentiasa relevan, berkesan dan memenuhi keperluan masyarakat.
Sebelum mesyuarat berlangsung, Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie bersama semua peserta telah menyertai aktiviti brisk walk di sekitar kawasan Pekan Padang Terap. Aktiviti tersebut bukan sahaja menyokong amalan gaya hidup sihat, malah mengeratkan hubungan silaturahim serta memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan warga kehakiman Syariah Negeri Kedah.

Diharapkan segala keputusan dan resolusi yang dicapai menerusi Mesyuarat Pengurusan Pentadbiran Kehakiman Bil. 2 Tahun 2026 ini akan terus memperkukuhkan tadbir urus kehakiman Syariah Negeri Kedah serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan yang profesional, efisien dan berteraskan prinsip keadilan demi kesejahteraan masyarakat.

Tags :