Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

ADAB IKHTILAF: SENI PENGHAKIMAN BIJAKSANA

Anak Bukit, 7 Julai 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menganjurkan kursus bertajuk “Adab al-Ikhtilaf: Seni Penghakiman Bijaksana” pada 6 hingga 7 Julai 2026 sebagai usaha berterusan memperkukuh kompetensi hakim syarie dan pegawai kehakiman dalam menghadapi cabaran penghakiman semasa yang melibatkan kepelbagaian pandangan fiqh, metodologi pentarjihan serta pengaplikasian hukum syarak dalam sistem perundangan Syariah.

Kursus ini telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd Hapiz bin Mahaiyadin (A.M.K.), Pensyarah Academy of Contemporary Islamic Studies (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, yang mempunyai kepakaran dalam bidang fiqh dan fatwa. Melalui perkongsian yang bersifat ilmiah dan berteraskan amalan kehakiman semasa, beliau menghuraikan secara mendalam konsep fiqh al-ikhtilaf, autoriti mazhab, pentaqninan hukum syarak, metodologi pentarjihan serta pembinaan alasan penghakiman (judicial reasoning) yang berasaskan prinsip maqasid syariah. Perkongsian tersebut turut memberi penekanan kepada kepentingan mengurus perbezaan pandangan fiqh secara profesional, beretika dan berautoriti dalam proses membuat keputusan kehakiman.

Sepanjang dua hari kursus berlangsung, para peserta telah mengikuti lima slot utama yang membincangkan tradisi fiqh al-ikhtilaf dalam institusi kehakiman Islam, keterikatan hakim kepada mazhab, implikasi pentaqninan hukum syarak terhadap penghakiman, metodologi pentarjihan pandangan fuqaha serta pendekatan mengharmonikan autoriti nas, turath dan realiti semasa dalam membuat keputusan kehakiman. Perbincangan turut diperkaya dengan kajian kes, latihan praktikal dan sesi pembinaan alasan penghakiman bagi mengukuhkan keupayaan peserta mengaplikasikan prinsip-prinsip syariah dalam menangani isu-isu kontemporari di Mahkamah Syariah.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah dalam memperkasakan pembangunan profesionalisme hakim syarie dan pegawai kehakiman melalui program latihan yang berimpak tinggi. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat melahirkan warga kehakiman yang berpengetahuan, berintegriti dan berwibawa dalam menyampaikan keadilan, seterusnya memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi kehakiman syariah.

Tags :