Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

HARI KELUARGA 2026 JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KEDAH

YAN, 16 September 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menganjurkan Hari Keluarga 2026 bertempat di Koop Sabina, Yan, Kedah dengan penyertaan warga jabatan serta ahli keluarga dalam suasana yang meriah dan penuh kemesraan.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kekeluargaan dalam kalangan warga JKSNK serta ahli keluarga, di samping mewujudkan ruang interaksi yang lebih santai dan harmoni di luar persekitaran tempat kerja.

Selain itu, penganjuran Hari Keluarga ini turut bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama, persefahaman, kekitaan dan kebersamaan dalam kalangan warga jabatan. Program seumpama ini juga dapat meningkatkan motivasi dan kesejahteraan warga kerja melalui aktiviti sosial dan rekreasi yang melibatkan penyertaan bersama.

Pelbagai acara menarik, aktiviti kekeluargaan serta penyampaian hadiah telah disediakan bagi memeriahkan program dan memberikan pengalaman yang menyeronokkan kepada para peserta. Penglibatan aktif warga jabatan dan ahli keluarga dalam aktiviti yang dianjurkan turut menyumbang kepada suasana yang lebih ceria, mesra dan penuh semangat kekitaan.

Diharapkan penganjuran Hari Keluarga 2026 ini dapat terus memperkukuh hubungan kekeluargaan dalam kalangan warga JKSNK serta menyumbang kepada pembentukan persekitaran kerja yang lebih positif, harmoni dan sejahtera.

Tags :