Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

KUNJUNGAN HORMAT JAKESS KE JKSNK

9 April 2026 (Khamis) – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) dalam satu lawatan strategik yang memberi fokus kepada perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan rekod dan pendigitalan jabatan.

Delegasi JAKESS yang terdiri daripada seramai 40 orang pegawai dan kakitangan telah diketuai oleh Yang Amat Arif Puan Nenney Shuhaida binti Shamsuddin, Ketua Hakim Syarie Negeri Selangor Darul Ehsan. Rombongan ini merangkumi pelbagai lapisan jawatan termasuk Ketua Bahagian, Ketua Seksyen, Ketua Unit, Pegawai Rekod Jabatan, Pegawai Teknologi Maklumat, Pegawai Tadbir, Pegawai Syariah, Penolong Pegawai Syariah serta kakitangan sokongan yang terlibat secara langsung dalam pengurusan rekod dan pentadbiran jabatan.

Tujuan utama lawatan ini adalah sebagai platform penanda aras bagi pelaksanaan Document and Digital Management System (DDMS), khususnya dalam memperkukuh aspek pengurusan rekod elektronik yang lebih sistematik, selamat dan berintegriti. Sesi perkongsian ini membuka ruang kepada pertukaran idea, pengalaman serta amalan terbaik antara kedua-dua jabatan dalam usaha memperkasakan transformasi digital sektor kehakiman syariah.


Ketibaan delegasi telah disambut oleh YAA Dato’Syekh Abd Rahman bin Hj Abdullah, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah. Lawatan ini merupakan salah satu iniasitif strategik JAKESS dalam memperkukuhkan tadbir urus rekod jabatan slaras dengan keperluan pendigitalan perkhidmatan awam. Taklimat telah disampaikan oleh Yang Berusaha Ketua Pendaftar, Tuan Amiruddin Putera bin Zainol Abidin, bersama Pegawai Rekod JKSN Kedah, Encik Badri bin Abdul Kader serta Pegawai Teknologi Maklumat JKSNK Kedah, Puan Siti Raudhoh binti Md Subri.

Kunjungan ini bukan sahaja mempererat hubungan kerjasama antara JKSNK dan JAKESS, malah menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan melalui inovasi digital yang lebih mampan dan berdaya saing.

Tags :