Alor Setar, 27 Ogos 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menganjurkan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah pada 27 Ogos 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Aras 3, JKSNK.
Program dimulakan dengan bacaan Surah Yasin yang dipimpin oleh Tuan Ahmad Sukri bin Che Din, Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar. Bacaan tersebut disusuli dengan alunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai tanda kecintaan dan penghormatan warga jabatan kepada Rasulullah SAW.
Program diteruskan dengan tayangan video pengkisahan kelahiran Nabi Muhammad SAW yang memberikan penghayatan kepada warga JKSNK mengenai sejarah kelahiran, kehidupan dan perjuangan Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah Islam.
Sebagai pengisian penutup, program turut dimeriahkan dengan Kuiz Uji Pengetahuan Sejarah Nabi Muhammad SAW yang bertujuan menguji serta meningkatkan pengetahuan warga jabatan mengenai sirah dan sejarah kehidupan Rasulullah SAW.
Penganjuran Sambutan Maulidur Rasul ini bukan sahaja menjadi wadah memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah turut menjadi ruang untuk menyemarakkan rasa kasih dan kecintaan terhadap Baginda serta menghayati akhlak dan sunnah Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian, khususnya dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
Semoga sambutan ini dapat terus menyuburkan kecintaan warga JKSNK terhadap Rasulullah SAW serta menjadi pemangkin kepada pembentukan warga kerja yang berintegriti, berakhlak mulia dan sentiasa menjunjung nilai-nilai Islam dalam melaksanakan tugas.






















