Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

WITNESS UNDER SCRUTINY: PEMBONGKARAN KREDIBILITI

8 Jun 2026 – ANAK BUKIT – Bahagian Latihan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menganjurkan Kursus “Witness Under Scrutiny: Pembongkaran Kredibiliti” pada 7 hingga 8 Jun 2026 sebagai usaha berterusan memperkasakan kompetensi pegawai-pegawai Syariah dalam aspek pengendalian keterangan saksi serta penilaian kredibiliti saksi semasa prosiding di mahkamah.

Kursus yang dikendalikan oleh Profesor Dr. Ramalinggam A/L A Rajamanickam, pensyarah Fakulti Undang-Undang, Multimedia University, Melaka ini memberi pendedahan yang komprehensif mengenai teknik mengenal pasti kredibiliti saksi melalui prosiding pemeriksaan utama, pemeriksaan balas dan pemeriksaan semula yang berkesan, di samping memperincikan faktor-faktor yang mempengaruhi kebolehpercayaan sesuatu keterangan berdasarkan undang-undang keterangan.

Sepanjang dua hari kursus berlangsung, para peserta telah mengikuti sesi pembentangan, perbincangan kes serta latihan praktikal yang memberi penekanan kepada kemahiran menganalisis keterangan dan mengendalikan saksi secara profesional, objektif dan berintegriti. Pendekatan interaktif yang diketengahkan turut membuka ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam mengendalikan kes-kes di Mahkamah Syariah.

Penganjuran kursus ini mencerminkan komitmen JKSNK dalam memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan tahap profesionalisme pegawai syariah agar sentiasa berpengetahuan, kompeten dan bersedia menghadapi cabaran semasa. Kursus seumpama ini diharapkan dapat terus menyokong usaha jabatan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah yang cekap, berintegriti dan berwibawa.

Tags :