Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

PAMERAN JABATAN KEHAKIMAN SYARIAH NEGERI KEDAH SEMPENA PROGRAM WONDERFUL LIFE: PROGRAM KESEDARAN KEGANASAN RUMAH TANGGA TAHUN 2026

23 September 2026 (Rabu) | 9.00 pagi – 5.00 petang
Ruang Legar, Star Parade, Alor Setar, Kedah

Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSN Kedah) telah menyertai Program Wonderful Life: Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga Tahun 2026 yang berlangsung pada 23 September 2026 (Rabu), dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang, bertempat di Ruang Legar Star Parade, Alor Setar, Kedah.

Program ini menghimpunkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan isu keganasan rumah tangga, perlindungan keluarga serta saluran bantuan dan perkhidmatan yang boleh diperoleh oleh golongan yang memerlukan.

Penyertaan JKSN Kedah melalui pameran ini bertujuan untuk memberikan pendedahan dan maklumat kepada masyarakat mengenai peranan serta perkhidmatan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah, khususnya yang berkaitan dengan penyelesaian isu kekeluargaan dan perundangan Syariah. Pameran ini turut menjadi platform untuk mendekatkan institusi kehakiman Syariah dengan masyarakat serta membantu orang awam mendapatkan maklumat yang tepat mengenai saluran dan prosedur yang berkaitan.

Selain JKSN Kedah, program ini turut disertai oleh pelbagai agensi seperti Lembaga Zakat Negeri Kedah, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK), Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, LPPKN Negeri Kedah, Lembaga Tabung Haji dan Pejabat Kesihatan Daerah Sik.

Melalui pameran dan perkongsian maklumat yang disediakan, program ini diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai hak, tanggungjawab, perlindungan serta bantuan yang tersedia, di samping menggalakkan masyarakat untuk mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada agensi yang berkaitan sekiranya berhadapan dengan permasalahan rumah tangga atau situasi yang memerlukan intervensi.

Penyertaan JKSN Kedah dalam program seumpama ini mencerminkan komitmen Jabatan untuk terus mendekati masyarakat, memperkasa pengetahuan mengenai perkhidmatan kehakiman Syariah dan menyokong usaha mewujudkan institusi keluarga yang lebih sejahtera, selamat dan harmoni.

Tags :