
ALOR SETAR, 11 Jun 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSN Kedah) melalui Unit Latihan telah menganjurkan Kursus Pemantapan Bahasa Melayu Dalam Undang-Undang pada 11 Jun 2026 (Khamis) bertempat di Dewan Seminar Aras 4, JKSN Kedah.
Kursus ini telah disampaikan oleh tokoh akademik dan pakar perundangan terkemuka, Prof. Dr. Ramalinggam Rajamanickam dari Fakulti Undang-Undang, Universiti Multimedia (MMU), yang berkongsi ilmu serta pengalaman berkaitan penggunaan Bahasa Melayu yang tepat, jelas dan berkesan dalam penulisan serta penyampaian dokumen perundangan.
Program ini disertai oleh Setiausaha Pejabat, Penolong Pegawai Syariah dan Pembantu Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah yang memainkan peranan penting dalam pengurusan dokumentasi, penyediaan rekod kes dan urusan pentadbiran kehakiman syariah.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh penguasaan Bahasa Melayu dalam konteks perundangan bagi memastikan setiap dokumen, surat-menyurat, rekod dan penulisan rasmi dapat dihasilkan dengan lebih tepat, profesional serta mematuhi prinsip-prinsip bahasa dan undang-undang yang betul.
Antara objektif utama kursus ini adalah:
✅ Meningkatkan kefahaman peserta mengenai penggunaan Bahasa Melayu yang standard dan tepat dalam bidang perundangan;
✅ Memantapkan kemahiran penulisan dokumen rasmi, penghakiman, minit, laporan dan surat-menyurat berkaitan urusan kehakiman syariah;
✅ Mengurangkan kesilapan penggunaan istilah, tatabahasa dan struktur ayat dalam dokumen perundangan;
✅ Memperkukuh profesionalisme warga kerja JKSN Kedah dalam penyediaan dokumen yang berkualiti dan berintegriti; serta
✅ Menyokong usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa perundangan negara.
Kursus anjuran Unit Latihan JKSN Kedah ini telah diselaraskan oleh urus setia En. Jihadi dan Pn. Zarita, yang memastikan kelancaran program sepanjang berlangsung.
Diharapkan kursus ini dapat memberi manfaat yang besar kepada para peserta dalam mempertingkatkan kemahiran bahasa dan penulisan perundangan, seterusnya menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan kehakiman syariah yang lebih berkualiti, cekap dan berwibawa.

















