Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah

Majlis Persaraan En. Badri dan Majlis Pertukaran Pn. Norazlina

16 Jun 2026 | Selasa

Alor Setar – Bahagian Khidmat Pengurusan dan Unit Rekod telah menganjurkan Majlis Persaraan dan Pertukaran Pegawai pada 16 Jun 2026 (Selasa) bagi meraikan jasa dan sumbangan warga kerja yang telah banyak berbakti kepada organisasi.

Majlis tersebut diadakan khusus bagi meraikan persaraan Encik Badri bin Abd Kader yang telah menamatkan perkhidmatan beliau dengan penuh dedikasi serta meraikan Puan Norazlina binti Ahmad yang akan bertukar ke tempat baharu. Kehadiran warga kerja daripada pelbagai bahagian telah memeriahkan lagi suasana majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra dan harmoni.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Tuan Amiruddin Putera, Ketua Pendaftar, yang merakamkan penghargaan atas komitmen, jasa dan sumbangan kedua-dua pegawai sepanjang tempoh perkhidmatan mereka. Beliau turut mendoakan agar Encik Badri dikurniakan kesihatan yang baik dan menikmati alam persaraan dengan penuh kebahagiaan, manakala Puan Norazlina terus cemerlang di tempat bertugas yang baharu.

Turut berlangsung ialah sesi ucapan ringkas daripada Encik Badri dan Puan Norazlina yang berkongsi pengalaman, kenangan serta penghargaan kepada rakan-rakan sekerja yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan sepanjang mereka berkhidmat.

Sebagai tanda penghargaan, sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Tuan Amiruddin Putera serta diikuti dengan penyampaian cenderahati daripada rakan-rakan sekerja. Majlis diteruskan dengan jamuan makan yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa untuk dinikmati bersama.

Keseluruhannya, majlis berlangsung dengan meriah dan penuh bermakna, mencerminkan semangat kekeluargaan yang erat dalam kalangan warga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah. Semoga Encik Badri dan Puan Norazlina terus maju jaya dalam fasa kehidupan dan kerjaya yang seterusnya.

Tags :