
Lawatan Kajian Ilmiah Delegasi Universitas Galuh
22 Jun 2026 – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah (JKSNK) telah menerima kunjungan kajian ilmiah daripada delegasi Universitas Galuh, Indonesia yang diketuai oleh Dr. Hj. Dewi Mulyanti, S.H., M.H., Dekan Fakultas Hukum Universitas Galuh.
Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Prof. Madya Dr. Alias Azhar, Dr. Muhammad Hafiz Badarulzaman dan Dr. Solahuddin Ismail daripada Universiti Utara Malaysia (UUM). Delegasi telah disambut oleh Tuan Shahmi bin Awang dan Puan Farah binti Hasan, Penyelidik Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kedah.
Sesi perbincangan tertumpu kepada isu-isu berkaitan wakaf, khususnya peranan Mahkamah Syariah dalam menangani permasalahan dan pertikaian wakaf dari perspektif perundangan dan amalan kehakiman di Malaysia. Perbincangan turut menjadi platform pertukaran pandangan serta perkongsian pengalaman antara kedua-dua institusi dalam memperkukuh penyelidikan berkaitan undang-undang Islam.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada kajian bersama antara Fakultas Hukum Universitas Galuh (Unigal) dan Research Group of Islamic Laws, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM). Diharapkan kerjasama ini akan memperkukuh jaringan akademik antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ilmu dan penyelidikan dalam bidang wakaf dan perundangan Islam.





